Thursday, 16 August 2012

Baju Melayu Teluk Belanga hanya pada nama

Beberapa hari saja lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ramai antara kita sedang sibuk membuat persiapan terakhir membeli-belah pakaian untuk menyambut hari yang mulia ini. Bagi yang lelaki, ada yang memilih untuk memakai Baju Melayu Bercekak Musang dan ada juga yang memilih untuk memakai Baju Melayu Teluk Belanga. 

Rakyat Johor sudah semestinya berbangga untuk mengayakan Baju Melayu Teluk Belanga - "Baju Melayu ni ciptaan Sultan Johor ni!", kata seorang rakan. Boleh dikatakan ramai beranggapan Baju Melayu Teluk Belanga ini dicipta oleh Sultan Abu Bakar. Utusan Melayu bertarikh 18 Julai 2007 menyiarkan artikel dengan tajuk Baju Melayu Teluk Belanga rekaan Sultan Abu Bakar. Begitu juga dengan buku bertajuk Pakaian Patut Melayu tulisan Muhammad Said Sulaiman juga mendakwa pakaian Baju Melayu Teluk Belanga sekarang berasal dari Johor semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar di Teluk Belanga, Singapura.

Persoalannya, adakah benar Baju Melayu Teluk Belanga ini direka oleh Sultan Abu Bakar atau baginda hanya membuat sedikit modifikasi dan seterusnya mempopularkan pakaian ini?

Dari pembacaan penulis jelas menunjukkan sebenarnya Baju Melayu berleher bulat yang digelar 'Teluk Belanga' ini telah wujud sejak zaman-berzaman. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, baju Melayu berleher bulat ini telah pun dipakai. Cuma bezanya daripada baju Melayu hari ini ialah ianya berpotongan ketat serta tangan dan kakinya lebih singkat. Selain daripada itu, ada juga Baju Melayu pada zaman itu yang berlengan pendek. 

Cara pemakaian ini boleh dilihat dalam filem Melayu bewarna yang pertama, Hang Tuah. Nampaknya pembikin filem pada tahun 1956 itu telah pun membuat sedikit-sebanyak kajian cara pemakaian di zaman Hang Tuah.
Penggiat seni terdahulu menitik beratkan semua perkara termasuk pemakaian pelakon yang sememangnya mengikut apa yang tertulis dalam sejarah. Perhatikan Baju Melayu yang dipakai ini adalah berpotongan ketat, potongan tangan dan kakinya pula adalah lebih singkat
Baju Melayu dipercayai digunakan secara meluas sejak zaman pemerintahan Sultan Melaka ke-3, Sultan Muhammad Shah (1424-1444). Di dalam buku Sejarah Melayu naskah Shellabear, Sultan Muhammad Shah bertitah, "...dilarang memakai cara atas angin, pakai cara kelinga juga dilarang". Cara 'atas angin' merujuk kepada pakaian orang Arab dan 'cara kelinga' merujuk kepada pakaian orang India yang merupakan pedagang-pedagang di Melaka. Orang-orang Melayu pada zaman itu telah ditekankan untuk mempunyai identiti bangsa sendiri dan tidak terpengaruh dengan pemakaian bangsa asing.  

Di zaman Kesultanan Melayu Melayu lagi dikatakan sudah ada Baju Melayu Cekak Musang yang dipakai oleh Sultan, kerabatnya dan golongan bangsawan. Yang membezakan antara Sultan dan golongan bangsawan ialan bilangan butangnya.

Berbalik kepada Baju Melayu Teluk Belanga itu tadi, Sejarah Melayu menceritakan Tun Hassan Temenggong, anak Bendahara Tun Mutahir adalah orang yang pertama mengubah bentuk Baju Melayu asal yang ketat dan singkat kepada Baju Melayu yang lebih besar dan labuh seperti baju-baju Melayu yang ada pada hari ini. 

"Tun Hassan Temenggong yang pertama melabuhkan baju Melayu, dan membesarkan pangkal tangan baju, dan memanjangkan tangan baju, akan dahulu baju Melayu kecil” - Sejarah Melayu

"Temenggung Tun Hassan, like his father, liked to dress attractively and was known as a handsome and well-dressed young man. Tun Hasan was the first Malay man responsible for amending the Malay costume which was small and tight. He lowered the hem, enlarged the arms and lengthen the sleeves to the present length" - The History of Malacca During the Period of the Malay Sultanate karya Buyong Adil (1974)

Baju Melayu straight-cut bersampin pendek Sultan Brunei
Tun Hassan Temenggong dikatakan sebagai seorang lelaki yang kacak, tampan dan bergaya (fashionable). Tun Hassan gemar memakai pakaian yang indah-indah dan lain daripada apa yang dipakai oleh anak-anak pembesar negeri dan bangsawan pada ketika itu. Baju Melayu yang ketat dan senteng pada zaman itu memudahkan orang-orang Melayu Melaka untuk menjalani kegiatan harian - bercucuk tanam, bersilat, bermain sepak raga dan lain-lain. Tun Hassan yang merupakan anak seorang pembesar negeri tidak bersawah-bendang, mungkin itu sebabnya baju Melayu yang lebih longgar, lengan tangan yang diturunkan sehingga ke pergelangan tangan dan seluar yang longgar dan dipanjangkan hingga ke tumit direka. Baju Melayu yang direka oleh Tun Hassan itu menarik perhatian ramai anak muda Melayu zamannya dan mereka mulai menirunya, sehingga akhirnya pakaian baju Melayu itu menjadi pakaian rasmi dalam kesutanan Melayu Melaka semasa dalam pemerintahan Sultan Mansur Shah (Sultan Melaka ke-6, 1456-1477).

Kesimpulan I
Dari fakta-fakta yang dikemukakan di atas jelas menunjukkan bahawa baju Melayu era moden yang ada hari ini adalah diilhamkan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka oleh Tun Hassan Temenggong dan bukannya direka oleh Sultan Abu Bakar. Sudah lah Tun Hassan mati dibunuh oleh Sultan Mahmud Shah yang mempercayai fitnah Raja Mendeliar, tambah malang lagi kredit langsung tidak diberikan kepada beliau yang mereka baju Melayu yang kekal dipakai hingga hari ini.

Lembu punya susu, sapi dapat nama. Dalam konteks ini penulis lebih nampak sumbangan Sultan Abu Bakar terhad dalam menamakan pakaian ini sebagai "Baju Melayu Teluk Belanga" sempena nama tempat pemerintahan Temenggong di Teluk Belanga, Singapura pada ketika itu. Selain daripada itu, dengan merujuk kepada buku Rupa dan Gaya Busana Melayu tulisan Azah Aziz  (2006), baju Melayu Teluk Belanga versi Sultan Abu Bakar ini bezanya hanya pada jahit tangan tulang belut di bahagian leher dan sembat di bahagian kelim dan kelepet. Selebihnya kredit harus diberikan kepada Tun Hassan Temenggong yang dilupakan.

Dari laman www.johordt.gov.my yang mendakwa cara pemakaian 'dagang luar' atau 'dagang dalam' dipelopori oleh Sultan Abu Bakar
Potret Keraing Aji berbaju Teluk Belanga
Pemakaian kain sampin cara 'berdagang dalam' atau 'berdagang luar' juga sebenarnya telah lama wujud dan rakyat bebas untuk memilih cara pemakaiannya. Mengikut budayawan Siti Zainon Ismail, kain sampin cara 'dagang dalam' (kain sampin dipakai di bawah baju Melayu) dikenakan oleh penduduk asal sesuatu tempat, manakala cara 'berdagang luar' (kain sampin dipakai di atas baju Melayu) adalah bagi golongan pedagang yang bukan berasal dari situ. Dengan ini adalah mudah mengenali siapa pedagang luar dan siapa penduduk asal sesuatu tempat. Allahuaklam.

Sebagai contoh penulis merujuk sejarah negeri Pahang yang mencatatkan sekitar tahun 1722 seorang pembesar Bugis bernama Tok Tuan Keraing Aji telah datang menetap di Kampung Mengkasar di Pekan, Pahang. Beliau bukan saja hebat dalam menenun kain sutera tetapi disifatkan sebagai pelopor kepada cara pemakaian kain sampin iaitu memperkenalkan cara memakai 'dagang luar' dan 'dagang dalam' kepada penduduk Pahang.

Temenggong Ibrahim bersamping dagang dalam
Kesimpulan 2
Bermakna di sini telah lama wujud pemakaian kain sampin cara 'dagang dalam' atau 'dagang luar' ini beratus tahun sebelum zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar. Untuk mengatakan bahawa Sultan Abu Bakar adalah pelopor kepada cara pemakaian kain sampin ini mungkin perlu dibuat kajian yang lebih menyeluruh. Jika dilihat potret Temenggong Daeng Ibrahim yang merupakan bapa kepada Sultan Abu Bakar, beliau mengenakan pakaian  dengan kain sampin berdagang dalam.

 Akhir Kata
Itu lah kisah Tun Hassan Temenggong yang dilupakan dengan rekaan baju Melayu olehnya yang kekal hingga hari ini dan kisah pemakaian sampin cara 'dagang dalam' atau 'dagang luar'. 

Gaya terbaru Anuar Zain
Cara pemakaian Baju Melayu ini sebenarnya subjektif dan terpulang kepada individu bagaimana untuk menggayakannya. Baru-baru ini Anuar Zain memakai kemeja lengan panjang, berseluar hitam serta bersampin dagang luar. Mungkinkah fesyen itu akan menjadi fenomena satu hari nanti?

Di hari raya nanti pakai lah apa yang anda ingin pakai, terpulang pada citarasa masing-masing. 

Jangan jadi seperti seorang anak raja yang memberi amaran kepada rakyat jelata untuk tidak memakai sesuatu pakaian mengikut cara keluarganya seperti yang tertulis di status facebook bertarikh 4 Julai 2012.


  Tunku Jalil Ibrahim
Mengapa semakin banyak orang memakai Baju Melayu Telok Blangah dengan seluar HITAM? Mungkin ada lagi yang tidak faham pakaian itu hanya dipakai oleh keluarga saya semasa ke majlis majlis formal! Pereka fesyen terkenal tidak patut meniru pakaian institusi Diraja Johor!
 

Kita tinggalkan kanak-kanak yang masih meleleh hingunya itu. Hayati satu teromba klasik berhubung pemakaian kain sampin (rujuk Mohd Rosli Saludin)

"Adat memakai samping
kok sudah beranak bini
atau orang yang patut-patut
kain samping bawah lutut
sama setentang paras betis
ikat bergulung lurus lurus
jika ikat atas lutut
itu tanda nak cari lagi
harus tahu keadaan ini"




 Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

9 comments:

  1. nice entry.. pasal baju melayu pun nak huru hara.. hehehe

    ReplyDelete
  2. Selamat hari raya MC. kawan dah lama pakai baju telok blangah dgn seluar hitam. biar ler anak Sultan johor tu tak bagi pun bukan ader copyright/trademark kata tak boleh

    ReplyDelete
  3. Pakailah macam manapun asalkan menutup aurat, dan jauhkan diri dari sikap riak.

    ReplyDelete
  4. Hahaha itulah akibatnya kalau bukan Keturunan Raja asli yang sepatutnya tidak menjadi Raja di johor.

    ReplyDelete
  5. Anak Johor-Kelantan17 August 2012 at 15:10

    BONGKAKNYA ayat anak sultan johor!!! Kena panah petir baru tauu
    Nasib la pak aku je org Johor....malu seh!!!
    Org kampung pak aku ckp Sultan ni kaya raya...paling kaya dlm donia nan fana ini selepas sultan brunei hahaha diorg yg ckp biler tengah kete besar besar seumur hidop tak pernah tengok masuk
    kampung!!
    Tapi ada sedara ipar aku generasi ke berapa ntah dari Menteri besar Johor auku sakat Dato Onn...dia cerita great great great moyang dia dulu antara org paling kaya dlm Johor tapi sultan Johor Abu Bakar ni rampas harta diorg... tu harta menteri besar kalau harta rakyat tatau la.

    Yg cerita kampong mak kat kelate pulak.. Sultan kelantan rampas tanah org kampung tu jadi nama Istana Air Mata sebab rakyat nangis tanah kena rampas. Byk cerita raja raja ni yg org tatau.

    Bongkar lagi incik MC!! Org Johor sendiri Pun tatau baju telok blanga ni dah lama. Memang ingat sultan johor yg design hahaha. Incik MC utk pengetahuan penulis buku yg atas tu KAPTEN MOHD SAID tu tentera JMF!!! Jadi boleh tau la kipas Sultan.

    ReplyDelete
  6. Kasihan anak raja ni.........

    ReplyDelete
  7. macam2...tp saya bangga fesyen DiRaja Johor menjadi bahan tiruan pereka fesyen yg miskin idea..di pakai pula oleh artis yang lansung xtau fesyen apa yg dia pakai..memang Budaya Bangsa Johor sentiasa menjadi bahan cetaK ROMPAK OLEH SEBERITY CIKAI MALAYSIA

    ReplyDelete
  8. Bangga sbb ic 04 @ org Melaka laa. Rupa2nya almarhum Tuanku Sultan Melaka yg mempopularkan baju melayu... Logik jgk sbb hampir seluruh kawasan tanah melayu termasuk Temasek (Singapura) adalah dibawah jajahan/naungan kerajaan melayu Melaka lebih 500 thn dulu...zaman almarhum sultan Abu Bakar (Johor) bru lebih kurang 150 thn je...

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete