Friday, 31 August 2012

Istana Johor sebenarnya menolak kemerdekaan!

Hari ini 31 Ogos, Malaysia menyambut hari kemerdekaan ke-55. Rata-rata blog dan facebook membicarakan mengenai kemerdekaan. Dalam blog entry siri kemerdekaan kali ini, penulis terpanggil untuk berkongsi sejarah yang tidak tertulis di dalam buku teks sekolah-sekolah bagaimana sebenarnya Istana Johor menolak kemerdekaan Tanah Melayu.

Siri Kemerdekaan 2: Istana Johor Menolak Kemerdekaan

Sebelum kita berbicara lebih lanjut, pembaca-pembaca budiman boleh lah membaca satu artikel bertajuk Istana Bantu Capai Kemerdekaan di muka surat 7, Majalah Holistik bulan Ogos 2007 yang diterbitkan oleh Pejabat Menteri Besar Johor. Artikel tersebut boleh dimuat turun di sini. Artikel tersebut juga boleh dibaca di blog penyokong tegar Kesultanan Johor.

Artikel yang diterbitkan di dalam Majalah Holistik




'UMNO Lama' dilahirkan di Istana Besar
Dalam blog entry Siri Kemerdekaan 1: Merdeka vs. Hidup Melayu ada diceritakan mengenai kisah Sultan Sir Ibrahim membenarkan Istana baginda dijadikan tempat berlangsungnya perhimpunan agung pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 1946. Di sana jugalah Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan, dan akhirnya UMNO dilahirlah secara rasmi.

Mengapa Sultan Sir Ibrahim terlibat dalam penubuhan UMNO? Ini adalah disebabkan orang-orang Johor menentang Sultan Sir Ibrahim yang menandatangani persetujuan Malayan Union. Dan Sultan yang berjiwa anglophile ini terpaksa akur dengan perjuangan orang-orang Melayu pada ketika itu yang menentang Malayan Union. Semuanya ada diceritakan panjang lebar di dalam Siri 1.

Faktanya ialah Sultan Sir Ibrahim adalah raja Melayu pertama bersetuju untuk menerima Malayan Union. Tidak habis setakat di sana, baginda juga sebenarnya menentang kemerdekaan Tanah Melayu - fakta yang tidak tertulis di dalam buku teks!

1. Selepas Malayan Union gagal, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dimeterai di King House (kini Carcosa Seri Negara) pada 21 Januari 1948. Mengikut perjanjian ini, 11 negeri-negeri Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka bergabung dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya mencapai kemerdekaan.

Walau bagaimanapun Sultan Sir Ibrahim masih tidak yakin dengan cadangan kemerdekaan Tanah Melayu. Sumber lisan yang tidak direkodkan ada menyebut Sultan Sir Ibrahim pernah berkata "British umpama air, apabila tidak ada kita akan dahaga". Allahuaklam.

Pada bulan September 1953, Sultan Sir Ibrahim menulis surat bertajuk "Straits Settlement Forever" kepada akhbar The Straits Times yang berharap agar sistem penasihat British dapat diteruskan dan negeri Pulau Pinang dan Melaka tidak perlu berada di dalam Persekutuan Tanah Melayu dan patut bersama-sama Singapura menjadi tanah jajahan British sampai bila-bila.

2. Sultan Sir Ibrahim juga telah menyuarakan hasrat baginda untuk menolak kemerdekaan Tanah Melayu semasa sambutan Jubli Intan pemerintahan baginda pada 17 September 1955 (rujuk buku From Malayan Union to Singapore Separation tulisan Mohamed Noordin Sopiee (1974). 

Baginda juga memberi amaran kepada negeri-negeri Melayu untuk menolak cadangan kemerdekaan dengan berkata "You Will Suffer if British Go!" Petikan akhbar The Argus, 19 September 1955 muka surat 6 ada dilampirkan.

Sambutan Jubli Intan Sultan Sir Ibrahim dan kemahkotaan Sultanah Marcela
Ucapan Sultan Sir Ibrahim yang menolak kemerdekaan menyebabkan sambutan Jubli Intan yang diadakan selama 5 hari berturut-turut itu dipulaukan oleh Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan jemaah menteri Kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk pada 1 Ogos 1955 (rujuk petikan akhbar bertajuk Sultan's Jubilee Ends on Bitter Note di bawah).

Penderhaka kah jemaah menteri ini semua? UMNO dan Parti Perikatan telah lama menderhaka kepada Raja-Raja Melayu! Ini boleh dikatakan menghina Raja Melayu kerana sambutan Jubli Intan semeriah itu dengan sengaja dipulaukan oleh Menteri-menteri Tanah Melayu !

Petikan daripada akhbar The Central Queensland Herald, 22 Septermber 1955

The Straits Times, 4 January 1956
3. Penolakan Sultan Sir Ibrahim terhadap kemerdekaan Tanah Melayu membawa kepada penubuhan Persekutuan Kebangsaan Melayu Johor (PKMJ) pada 22 Oktober 1955 oleh seorang kerabat istana Johor iaitu Ungku Abdullah bin Ungku Omar. PKMJ bukan saja menyokong saranan Sultan Sir Ibrahim untuk terus berada di bawah naungan British tetapi berusaha untuk memisahkan Johor dari Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya menggagalkan kemerdekaan Tanah Melayu. 

PKMJ bukan saja mendapat tentangan daripada Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Parti Perikatan, tetapi turut mendapat kecaman daripada orang Johor sendiri. Pada bulan November 1955, penduduk daerah Segamat yang mengelarkan kumpulan mereka 'Pasok Melaya Daerah Segamat' mengugut untuk meninggalkan daerah Segamat dari negeri Johor jika Johor tidak menyertai Persekutuan Tanah Melayu (rujuk buku bertajuk Modern Governments and Political Systems: Governments and Politics in South Asia, karya S. L. Kaushik dan Rama Patnayak (1995).  

Menderhaka kepada Sultan Johor kah rakyat daerah Segamat ini hingga sanggup mencabar untuk memisahkan daerah mereka dari negeri Johor?

Menjelang kemerdekaan, semakin ramai ahli-ahli PKMJ meninggalkan kumpulan itu dan akhirnya pertubuhan ini terkubur. Bermakna cadangan Sultan Sir Ibrahim untuk menolak kemerdekaan dan dibawa oleh Ungku Abdullah melalui PKMJ tidak dapat diterima oleh rakyat Johor sendiri. Menderhaka kah rakyat Johor pada ketika itu? 

Penderhakaan mereka penderhakaan bertempat, tidak seperti Pemuda UMNO Johor (juak-juak yang menganjurkan Himpunan Menjunjung Taat Setia Ketuanan WWW1) yang menganggap jika rakyat bersuara atau mempertikaikan pendapat atau tingkah laku seseorang Sultan adalah dianggap menderhaka!


Kesimpulan
Fakta-fakta di atas jelas menunjukkan sebenarnya Istana Johor menolak kemerdekaan dan bukannya membantu dalam mencapai kemerdekaan Tanah Melayu seperti yang didakwa di dalam majalah Holistik terbitan Pejabat Menteri Besar Johor. 

Sultan Sir Ibrahim sendiri menolak kemerdekaan Tanah Melayu dan merelakan British terus berada di Tanah Melayu - "The British have made Malaya prosperous", kata baginda semasa berucap sempena sambutan Jubli Intan. Begitu juga kerabat Istana Johor iaitu Ungku Abdullah (seorang yang begitu rapat dengan Istana dan penerima Darjah Kerabat dan Pingat Jubli Intan Sultan Ibrahim) yang menjadi pelopor perjuangan anti-kemerdekaan di bawah PKMJ. 

Adalah amat memalukan apabila artikel yang ditulis oleh orang Johor sendiri sebenarnya buta tentang sejarah negerinya. Lebih memalukan kerana artikel tersebut diterbitkan oleh Pejabat Menteri Besar Johor!

Perlu diingat, Sultan Sir Ibrahim tidak pernah bersetuju untuk merdeka dan terus menetap di London hingga akhir hayatnya. Baginda juga adalah merupakan seorang Sultan yang mendapat banyak tentangan daripada pembesar-pembesar Johor sejak daripada cadangan Malayan Union hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Mungkin merajuk agaknya, akhirnya baginda menyerahkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail (kemudiannya dikenali sebagai Sultan Ismail) untuk membuat keputusan termasuk menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya kemerdekaan.

Penulis tinggalkan blog entry ini dengan satu keratan akhbar The Canberra Times bertarikh 3 November 1949 yang bertajuk Johore Sultan Not Sovereign Ruler (atau terjemahannya berbunyi Sultan Johor bukan Pemerintah Berdaulat) berdasarkan kepada satu penghakiman Mahkamah Rayuan. "Eh, bukan buku teks sekolah-sekolah kata negeri Johor satu-satunya negeri Melayu yang merdeka dan hanya menerima penasihat British? Macam mana pula bukan pemerintah berdaulat"




Yang suka menulis mengenai Kesultanan Johor,




20 comments:

  1. pemimpin zaman dulu takde nak mengikut telunjuk raja membabi buta....yg salah tetap salah

    pemimpin zaman sekrg anggap taraf raja lagi tinggi dari nabi...derhaka ke hulu derhaka ke hilir.... ptuihhhh

    padan muka utusan kena bayar pada dato nizar

    ReplyDelete
  2. "Malayan Union gagal, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dimeterai di King House (kini Carcosa Seri Negara) pada 21 Januari 1948. Mengikut perjanjian ini, 11 negeri-negeri Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka bergabung dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya mencapai kemerdekaan."

    " sambutan Jubli Intan yang diadakan selama 5 hari berturut-turut itu dipulaukan oleh Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan jemaah menteri Kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk pada 1 Ogos 1955 (rujuk petikan akhbar bertajuk Sultan's Jubilee Ends on Bitter Note di bawah"

    JADI malaya sebenarnye telah merdeka lebih awal iaitu pada 21 Januari 1948 dengan mempunyai jemaah menteri kabinetnye sendiri pada 1955 diketuai Tunku Abd Rahman sbg ketua menteri....satu fakta yg ramai rakyat malaysia overlook sehingga kini.....selamat hari merdeka ke 64 wahai tanahairku.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam,

      Tanah Melayu masih belum merdeka pada ketika itu. Kabinet Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada 1 Ogos 1955 selepas Pilihanraya yang pertama diadakan.

      Kabinet pada ketika itu terdiri daripada 15 orang Menteri dimana Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri.

      Pegawai-pegawai British masih memegang jawatan tertinggi kerajaan seperti Ketua Setiusaha Negara, Ketua Kewangan (tiada Menteri Kewangan dalam Kabinet 1955 kerana British masih memegang hal-ehwal kewangan Tanah Melayu), Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan lain-lain.

      Delete
    2. Ada banyak peristiwa yang berlaku selepas WW2 tidak diketahui orang ramai, antaranya...

      Kaum cha menguasai Malaya selama 14 hari selepas tentera Nippon menyerah kalah melalui Bintang Tiga...

      Ramai orang Melayu dituduh bersubahat dengan tentera Nippon dan dijatuhkan hukuman mati oleh Bintang Tiga melalui Kanggaroo Court...

      Apabila British kembali ke Malaya, ramai orang Melayu menyertai pasukan polis dan tentera akibat trauma kesengsaraan diperintah Bintang Tiga selama 14 hari...

      Delete
    3. sambung sikit lagi...

      (Tun) Tan Cheng Lock terlebih dahulu tahu bahawa USA telah mendesak British membebaskan tanah jajahannya melalui satu persidangan (kalau tak silap saya diadakan di istana sebuah negeri di semenanjung)...

      (T)TCL melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk memiliki negara sendiri di luar tanah besar China lalu mencadangkan Malayan Union di mana kaum cha di Malaya akan mendapat kerakyatan secara automatik dan boleh mentadbir sendiri...

      Tambahan pula pada ketika itu pegawai kerajaan Malaya lebih ramai kaum cha dari bangsa Melayu...

      Pada peringkat ini orang Melayu masih tidak menyedari bahawa British terpaksa memerdekakan Malaya pada suatu hari nanti (dikatakan British bersetuju memerdekakan Malaya pada tahun 1975 dalam persidangan tadi)...

      Orang Melayu di Malaya masih tidak menyedari muslihat di sebalik projek Malayan Union ialah: (i) British merancang untuk memerdekakan Malaya selepas projek Malayan Union berjaya (ii) Pada masa yang sama British enggan mengambil rakyat tanah jajahannya menjadi rakyat Ratu British (iii) Untuk itu kaum-kaum selain bangsa Melayu mestilah dijadikan rakyat setaraf bangsa Melayu dalam Malayan Union (iv) Halangan utama projek Malayan Union iaitu institusi beraja yang menjadi simbol kesatuan orang Melayu selama ini mestilah dicabut sehingga ke akar umbinya sehingga orang Melayu tidak mampu untuk bangkit menentang projek Malayan Union.

      Delete
  3. Bongkar dan terus Bongkar saudara! walaupun pada mula saya melihat anda ini seperti Anti sistem Beraja tetapi niat saudara sebenarnya ingin menegur dan membetulkan fakta.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa kita belajar kat sekolah semua ckp UMNO je yg memperjuangkan merdeka.

      Byk sejarah sebenar digelapkan.

      Memang betul Datuk Onn & pembesar lain menentang Sultan Johore, jadikan itu pengajaran. Sejarah patut ajar org zaman sekrg utk tidak mengulangi perkara lampau. Maksud saya sultan pun jgn la berkiblatkan barat sebab org Melayu tak suka. Dari kecil hantar putra putri raja mengaji luar negara. Yg diorg bawa balik kelakuan mat saleh menonggang arak & seks bebas

      Sejarah bukan je mengajar rakyat tetatpi patut mengajar Sultan & pemerintah. Jgn le menyorok sejarah utk nampak yg baik je tetapi hakikat di dlmnya rosak & busuk

      Teruskan menulis sejarah yg digelapkan wahai tuan Daeng

      Delete
  4. lagi byk citer kerabat johor lagiiii baguih....depa tuh poyoooo gilos...paling aku meluat kalau anak-anak sultan pi shopping kompleks....macam depa yg raja dgn kereta peronda segala mak datok pi ikut sama...anak raja lain lepak ja pi jalan jalan takdak sapa ikut

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haah...memang poyo bnyak diorang ni...berjiwa rakyat la sangat kan ...

      Delete
  5. cuba ulas tentang perjanjian malaysia 1963, terutama yang melibatkan perkara 18/perkara 20. harap jangan bias

    ReplyDelete
  6. Thank You mr Daeng for great infos, as for the time being, living in Johor itself is like living in "Palestin of the East".

    ReplyDelete
  7. Eleh dengki Johor cakap jelah, nak tuduh anglophile lah apelah..kan Sultan Johor masa tu risau pasal ancaman komunis..sama kes macam Sultan Brunei yang menolak masuk dalam Malaysia tapi terus menjadi jajahan British..

    Dah tengok Brunei sekarang makmur je...Itulah kebijakan Sultan Brunei, takde pulak dikutuk kutuk sebagai anglophile..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sebab sultan brunei memang bukan anglophile pun. takde pun kahwin minah salleh.

      Delete
  8. cuba fikir

    johor sebelum Malaysia - banding Johor selepas Malaysia

    bagaimana Selangor boleh jadi negeri paling maju?

    bagaimana kos hidup kat Malaysia sangat tinggi sekarang? kenapa susah dapat kerja biarpun dah ada sijil? kenapa rumah kos rendah mahal sekarang?

    bayangkan jika JOHOR kekal tak masuk Malaysia ketika itu? itulah rakyat kadang-kadang rase lebih tau, tapi tak semestinya tau

    Dulu-dulu pasti ada juga separuh atau suku taknak percantumanan negeri-negeri. macam sekarang mungkin ada juga separuh atau kurrang atau lebih sokong kerajaan atau pembangkang

    ReplyDelete
  9. Johor tidak mahu british tinggalkan negeri johor sebab johor masih perlukan kekuatan mereka untuk melawan komunis.hal ini bukan lah sesuatu yang pelik sebab memang semua kerajaan dalam dunia akan mencari sekutu yang kuat untuk menjamin keselamatan negeri itu sendiri.

    andaikan, jika persekutuan tanah melayu tidak melibatkan johor, sudah tentu kerajaan johor ketika itu, tidak akan menentang usul kemerdekaan tanah melayu.

    "Eh, bukan buku teks sekolah-sekolah kata negeri Johor satu-satunya negeri Melayu yang merdeka dan hanya menerima penasihat British? Macam mana pula bukan pemerintah berdaulat

    alam The Straits Times, 4 January 1956 yang saudara lampirkan, Ungku Abdullah bin Ungku Omar menyatakan johor tak perlu merdeka sebab johor memang dah sediakalanya merdeka.

    berkenaan pemerintah berdaulat, ada perbezaan dalam undang - undang antara istilah pemerintah berdaulat dan negara/negeri/kerajaan berdaulat.yang berdaulat cuma negara / negeri dan bukan pemerintahnya.pemerintah boleh dihadapkan ke mahkamah kerana pemerintah juga tertakluk pada undang - undang.tapi jika sesebuah negara / negeri berdaulat ingin melakukan sesuatu yang tidak bercanggah dengan undang - undang negeri itu sendiri, maka tiada sesiapa yng boleh mencampuri tindakan kerajaan tersebut.

    ReplyDelete
  10. selepas Sultan sir merajuk, dan menetap di london, atuk saya Ungku Abdullah buang semua pingat dia . huhuhu. #UngkuLahRimau <3

    ReplyDelete
  11. Aku tetap sokong sultan johor dan bangsa johor keluar dari malaysia..tp negeri johor stay...sultan johor dan bangsa johor(tak pasti ada ic ke ke x) gi duk singaporn...

    ReplyDelete
  12. Aku tetap sokong sultan johor dan bangsa johor keluar dari malaysia..tp negeri johor stay...sultan johor dan bangsa johor(tak pasti ada ic ke ke x) gi duk singaporn...

    ReplyDelete
  13. Selepas Astro Arwani bongkar asal usul Malayan Union dan Sultan Johor yg tandatangan setuju bagi ic pd semua PATI .... Tentu cucu cicit generasi Z anak Johor tunduk malu pd insiden ini...terbaru kes Dobi utk muslimat mendapat tentangan sengit Sultan skg

    ReplyDelete
  14. Selepas Astro Arwani bongkar asal usul Malayan Union dan Sultan Johor yg tandatangan setuju bagi ic pd semua PATI .... Tentu cucu cicit generasi Z anak Johor tunduk malu pd insiden ini...terbaru kes Dobi utk muslimat mendapat tentangan sengit Sultan skg

    ReplyDelete