Friday, 27 July 2012

Merdeka vs Hidup Melayu


"Janji Ditepati" - itu lah tema yang paling bangang dalam sejarah 55 tahun Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan. Logo yang hodoh seperti dibuat oleh pelajar yang baru berjinak-jinak dengan aplikasi Photoshop ini pula menjadi pelengkap kepada kurangnya daya intelek kepimpinan Malaysia. Ditambah pula dengan lagu yang tidak langsung membawa mesej kemerdekaan. Apabila dilihat logo, tema dan lagunya, penulis tertanya-tanya ini adalah untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia atau untuk sambutan ulang tahun UMNO? 

Kita tinggalkan perihal logo, tema dan lagu tersebut. Siapa yang komen lebih-lebih, itu dikira minda tertutup dan keras hati bak kata Datuk Seri Rais Yatim.


 Siri Kemerdekaan 1: "Merdeka" vs. "Hidup Melayu"


UMNO Lama Dato' Onn Jaafar yang telah terkubur
UMNO yang ditubuhkan oleh Dato' Onn bin Jaafar bukan untuk mencapai kemerdekaan tetapi bertujuan untuk menentang Malayan Union. Ini adalah fakta. Seperti yang dititahkan oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim semasa penubuhan UMNO di Istana Besar pada 11 Mei 1946 - "Umno tidak dilahirkan di tepi jalan tetapi di istana". Walaupun bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo pernah mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO sebenarnya di lahirkan di Selangor. Mungkin anak Toyo ini keliru antara sedang mengandung (cadangan penubuhan di Kelab Sultan Sulaiman, Selangor) atau telah dilahirkan (UMNO ditubuhkan secara rasmi). Kecoh UMNO Johor termasuk Datuk Shahrir Samad menghentam anak Toyo.


Keratan akhbar The Argus bertarikh 10 Disember 1945
Memang benar rakyat Johor berbangga UMNO di lahirkan di dalam istana. Tetapi faktanya adalah kerana Sultan Sir Ibrahim adalah merupakan Raja Melayu pertama yang menandatangani persetujuan Malayan Union tanpa sebarang tentangan di hadapan Sir Harold MacMichael pada 20 Oktober 1945. Mengikut Christopher Bayly dan Tim Harper di dalam buku Forgotten Wars - "The Sultan quickly consented to MacMichael's proposal scheme, which was motivated by his strong desire to visit England at the end of the year." Bermakna disini tiada tentangan dibuat. Dan memang benar, pada akhir tahun 1945, Sultan Sir Ibrahim dan Sultanah Marcella berangkat ke London.


Adakah Sultan Sir Ibrahim terlepas pandang perkara pertama yang amat penting itu atau sememangnya tidak kisah?
Penentangan Malayan Union di Perak diketuai Raja Perempuan Kelsom
Sejarah menunjukkan hanya 2 orang Raja Melayu sahaja yang menentang Malayan Union secara terang iaitu Sultan Kedah, Sultan Badlishah dan Sultan Perak, Sultan Abdul Aziz. Semasa MacMichael mengadap Sultan Badlishah pada 29 November 1945, beliau mengggunakan nama Sultan Sir Ibrahim yang lebih awal bersetuju dengan Malayan Union. Sultan Badlishah menyawab, "Tidak semestinya Kedah mengikut apa yang dibuat oleh Johor!". Satu jawapan yang berani dan mengejutkan MacMichael. Walau bagaimanapun akhirnya kedua-dua Sultan Kedah dan Sultan Perak terpaksa juga untuk menandatangani persetujuan Malayan Union. 

Sultan Terengganu, Sultan Ali yang anti-British awal-awal lagi telah di terajang turun takhta dengan cara yang paling hina sekali. Bukan itu saja, baginda dituduh mengahwini seorang pelacur dan menghidapi penyakit sifilis. Rujuk artikel jurnal bertajuk Tengku Ali, British dan Takhta Terengganu tulisan Nik Anuar Nik Mahmud. Dan nampaknya Kesultanan Terengganu hari ini turut mempunyai fahaman British dengan tidak mengikhtiraf Sultan Ali sebagai Sultan Terengganu. Nama Sultan Ali tiada dalam senarai nama Sultan Terengganu di Muzium Terengganu dan di laman web Sultan Terengganu hanya ditulis sebagai Tengku Ali. Bermakna Kesultanan Terengganu tidak mengikhtiraf Sultan Ali pernah menjadi Sultan Terengganu! Mungkin pada fahaman mereka seseorang Sultan itu hanya sah jika ditabalkan oleh British! Atau ingin menyembunyikan fakta tertentu?

Dari laman web http://www.istana.terengganu.gov.my

Kita tinggalkan Kesultanan Terengganu. Kita teruskan dengan Malayan Union.

Sejarah penentangan Dato' Onn Jaafar tidak banyak yang menulis kenyataan amarah beliau kepada Sultan Sir Ibrahim yang berbunyi "rakyat telah menjadi raja, dan raja telah menjadi rakyat" (the rakyat have become the raja, the raja have become the rakyat). Rujuk The End of Empire and the Making of Malaya. T. N. Harper (1999) muka surat 85 dan Malaysia: Islam, Society and Politics muka surat 172. Buku-buku sejarah berbahasa Melayu tidak melaporkan kenyataan Dato' Onn Jaafar tersebut, mungkin berbunyi sebagai penderhaka? Apa yang ingin disembunyikan, Dato' Onn Jaafar telah lama menjadi Hang Jebat. Derhakanya mempunyai sebab, derhakanya mempunyai martabat.


Mengikut kajian Noorita Abdul Hamid (2005) bertajuk Politik Melayu daripada Perspektif Warta Negara 1946 untuk thesis Sarjana Sastera Sejarah Universiti Malaya, akhbar Warta Negara bertarikh 7 Februari 1946 memetik kenyataan Mufti Johor, Haji Hassan Yunus seperti berikut, 

 "Kerajaan dan bumi ini bukanlah Sultan yang empunya bahkan rakyat negeri, dan Sultan hanya menjadi ketua."

Di dalam akhbar yang sama, Menteri Besar Johor pada ketika itu, Ungku Abdul Aziz Abdul Majid mendakwa Sultan Ibrahim tidak langsung berbincang dengan beliau atau menteri dan pegawai yang lain sebelum menandatangani persetujuan Malayan Union. Warta Negara bertarikh 15 Februari 1946 pula menyatakan Ungku Aziz dengan lantang dan berani menuntut supaya orang Melayu Johor tidak lagi menumpahkan taat setia mereka kepada Sultan Sir Ibrahim kerana perbuatan itu melanggar amanah yang diberikan oleh rakyat. 

Selain daripada itu, mengikut Biografi Tun Dr. Ismail: Kejora Timur Yang Mengerdip tulisan Thajunnisa Mohamed di muka surat 18 menceritakan bapa Tun Dr. Ismail iaitu Dato' Abdul Rahman Mohd Yassin bersama-sama "Orang Tujuh" dari Muar termasuk Datuk Kosai Mohd  Salleh dan Mufti Haji Hassan Yunus, juga pernah menuntut Sultan Sir Ibrahim meletak jawatan sebagai Sultan Johor.
Ahli UMNO Baru yang tidak faham erti derhaka

Persoalannya, adakah nama-nama ini adalah penderhaka kepada Raja? Datuk Kosai Mohd Salleh pernah menerima biasiswa Sultan Sir Ibrahim menuntut di Universiti Oxford juga menentang Sultan. Penderhaka kah beliau dan orang yang tidak mengenang budi? Hanya ahli-ahli 'UMNO Baru' yang buta sejarah dan buta hati saja yang hanya nampak derhaka-derhaka-derhaka dan berjuang demi sekeping plat bernombor WWW1.


Berita mengenai penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union dan terhadap Sultan Sir Ibrahim akhirnya sampai ke pengetahuan baginda pada 22 Februari 1946 yang ketika itu menetap di Grosvenor House London. Akhirnya Sultan pulang ke Johor. Malayan Union diisytiharkan juga pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama dipulaukan oleh Raja-raja Melayu dan orang-orang Melayu terus menentang. Dan ini akhirnya membawa kepada penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946.

Itu kisah UMNO Lama yang telah terkubur. Tujuan penubuhannya adalah untuk menghimpunkan semua orang Melayu untuk menentang Malayan Union. Jadi, slogan "Hidup Melayu" memang releven dengan perjuangan UMNO pada ketika itu.

Itu kisah UMNO dan Malayan Union. 

Lebih awal daripada UMNO, telah lahir Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai sebuah pertubuhan berunsur politik pada tahun 1937. KMM yang ditubuhkan secara sulit ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran kemerdekaan orang-orang Melayu, disamping melancarkan perjuangan anti-British. Di zaman pendudukan Jepun, KMM pernah meminta kemerdekaan Tanah Melayu dengan rasminya daripada Jepun walaupun ditolak. Fakta disini ialah KMM adalah badan politik yang pertama berbuat demikian, bukan UMNO! Walaupun KMM bukanlah pro-Jepun tetapi cuba mengambil kesempatan dari keadaan politik dunia masa itu untuk menuntut kemerdekaan seperti yang dilakukan oleh Sukarno di Indonesia dan Subhas Chandra Bose di India.

Rumah Merdeka versi UMNO kini diambil alih oleh Arkib Negara
KMM menjana penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 dengan sayap mudanya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).  

Dalam kongres kebangsaan di Rumah Merdeka, PKMM telah meluluskan laungan "Merdeka" sebagai slogan dan matlamat perjuangannya. 

Rumah Merdeka yang terletak di Kampung Baru itu adalah merupakan markas PKMM. Berkenaan Rumah Merdeka, dalam Memoir Abdullah C.D. ditulis, 

"Nama Rumah Merdeka yang diberikan oleh Pak Sutan Djenain kepada kediaman kami di Kampung Bahru itu memang sesuai. Ia satu nama yang penuh bersemangat dan mencerminkan semangat dan cita-cita kami. Dari Rumah Merdeka inilah kami melancarkan perjuangan menuntut kemerdekaan. Rumah Merdeka selalu dikunjungi orang. Mereka yang mahu berhubungan dengan PKMM kebanyakannya datang ke sini. Ada seorang pemuda (tak ingat namanya) selalu datang ke sini untuk membaca buku. Yang menarik perhatian saya ialah semua buku di situ dibacanya. Dia menjadi salah seorang anasir cergas PKMM." - Abdullah C.D.

Bukan hanya slogan "Merdeka" digunakan, hingga ke nama rumah atau markas PKMM juga dipanggil "Rumah Merdeka". Itu lah sebenarnya diperjuangkan oleh ahli-ahli PKMM. Matlamat mereka hanya satu iaitu mencapai kemerdekaan tanah air.


Kesimpulan
Siapa kata slogan tidak penting? Slogan adalah penting bagi mencerminkan apa yang diperjuangkan.  Berbalik semula kepada slogan kemerdekaan ke-55 berbunyi "Janji Ditepati", ini bermakna tiada apa  lagi yang ingin diperjuangkan oleh kerajaan kerana semua janji yang ditaburkan oleh mereka telah dipenuhi.

Sekali lagi ditekankan slogan bukan hanya sepatah dua perkataan yang tidak membawa apa-apa maksud. Slogan mempunyai makna yang begitu besar. Slogan PKMM adalah "Merdeka", bermakna perjuangan mereka adalah untuk memerdekakan tanah air dengan apa-apa cara sekali pun termasuk menumpahkan darah. Slogan "Hidup Melayu" UMNO pula adalah untuk mengumpukan umat-umat Melayu pada ketika itu untuk bangun menentang Malayan Union. 


Anak Merdeka,




4 comments: