Thursday 12 July 2012

Klon Uncleseekers


Joe Gordon
Semalam, Rabu 11 Julai 2012, akhbar-akhbar di seluruh dunia melaporkan mengenai seorang anak kelahiran Thai berwarganegara Amerika Syarikat, Lerpong Wichaikhammat atau dikenali sebagai Joe Gordon mendapat pengampunan Raja Thai, Raja Bhumibol Adulyadej setelah menjalani hukuman penjara selama dua tahun setengah kerana menghina institusi diraja. Walaupun telah menetap di Amerika Syarikat selama 30 tahun, nasibnya tidak baik apabila ditangkap semasa tiba di Thailand untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital negara itu.

Kesalahan yang dilakukan oleh Joe Gordon ialah menterjemahkan sebahagian kandungan buku The King Never Smiles karya Paul Handley yang diterbitkan oleh Yale University Press ke dalam Bahasa Thai dan dikongsi di dalam blognya. Buku yang diharamkan di Thailand ini antara lainnya cuba melihat kembali misteri kematian secara mengejut Raja Ananda Mahidol (abang kepada Raja Thai sekarang) yang dikatakan menembak diri sendiri, kemudiannya baru si adik, Raja Bhumibol Adulyadej naik takhta. Begitu juga kisah-kisah betapa playboy dan ganasnya Tengku Mahkota Thailand, Putera Vajiralongkorn. 

Bukan setakat buku Paul Handley yang menceritakan kisah di sebalik istana, wikileaks (video berkenaan di link ini) juga pernah mengeluarkan video bagaimana Tengku Mahkota meraikan hari jadi anjingnya di tepi kolam renang bersama-sama isterinya, Puteri Srirasm yang berbogel dan hanya memakai g-string. Itu kisah diraja Thailand menyambut hari jadi anjingnya, tidak hairan lah mengapa seorang raja di negara kita ini pun meminta pekerja istana memanggil kudanya dengan panggil "Tunku"! Berbalik kepada kisah Tengku Mahkota Thailand tadi, wikileaks dan beberapa akhbar pernah melaporkan Tengku Mahkota Thai adalah HIV+, belum lagi cerita anak-anak luar nikah Tengku Mahkota Thai dan wanita-wanita simpanannya. Bagaimana pun di Thailand jika berbicara mengenai raja, hukumnya pasti Fasal 112 lèse-majesté dalam Kanun Keseksaan Negara Thai. Tidak kira penulis blog atau ahli politik dalam ucapan mereka,  semuanya didakwa menghina raja dan hukumannya dihumban ke dalam penjara. 

Walaupun Raja Bhumibol Adulyadej sendiri pernah membenarkan rakyatnya memberikan kritikan, tetapi lèse-majesté masih diteruskan sebagai perisai keluarga diraja tersebut. Pendek kata, cakap tak serupa bikin!


"If you say that the King cannot be criticised, it suggests that the King is not human" - Raja Bhumibol Adulyadej, 5 Disember 2005

Persoalannya, jika raja itu sendiri berkelakuan tidak semenggah dan mengundang kritikan dan kejian, adakah rakyat masih perlu diam dan terus menyembah taat setia?

Twitter Dr. Mohd Asri
Logika Melayu nampak Hang Tuah sebagai hero kerana taat setia kepada Sultan Melaka. Taat setia itu adalah taat setia membuta tuli. Hang Jebat pula dilihat sebagai penderhaka kepada Sultan. Tetapi derhaka Hang Jebat itu derhaka bertempat, "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disangga"

Begitu juga kisah Laksamana Bentan, Megat Seri Rama yang membunuh Sultan Mahmud Shah II (Marhum Mangkat Dijulang) kerana isterinya Dang Anum mati dibelah perut hanya kerana seulas nangka. Penderhaka kah Megat Seri Rama? 

Kisah Hang Jebat dan Laksamana Bentan diketahui umum. Bagaimana pula kisah Si Bongkok Tanjung Puteri? Nama ini berkumandang dalam lagu rakyat negeri Johor, "Tanjung Puteri" tetapi nama ini seakan tenggelam dalam sejarah negara ini dan Johor khususnya.

"Dari Tebrau orang berakit
Singgah Setulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri"

Novel Si Bongkok karya Abdul Latip Talib
Apa sebabnya kisah Si Bongkok seakan digelapkan sejarah? Novelis Abdul Latip Talib ada menulis mengenai kisah Si Bongkok ini tetapi secara santai kerana ianya sebuah novel. Sebenarnya ada sebab mengapa kisah Si Bongkok ini seakan ditenggelamkan kerana ianya ada kaitan dengan penderhakaan terhadap Kesultanan Johor berketurunan Temenggung ini. Jika Si Bongkok seorang penderhaka, mengapa namanya disebut dalam lagu rakyat? Nantikan entry seterusnya di blog Malaysian in Crisis mengenai kisah Penderhakaan Si Bongkok.

Uncleseekers ditahan reman kerana didakwa menghina raja. Seperti yang diceritakan di atas mengenai Raja Thai dan hukum lèse-majesté negara itu, apa yang didakwa oleh rakyat sama ada melalui oral atau tulisan semuanya tidak akan diambil peduli. Buka saja mulut mengenai raja, akan dihukum. Itu yang dinamakan lèse-majesté. Di Thailand tak apalah, Raja dia cuma seorang, Permaisuri pun seorang, Tengku Mahkota dan isterinya saja yang tidak boleh disentuh. Di Malaysia? Berapa ramai Sultan, Tengku Mahkota, Raja-raja bergelar? Jika kesemua mereka baik budi pekerti, cantik tutur kata, tidak menunjuk-nunjuk darjat dan kemewahan yang ada, menghormati rakyat mengikut waadat Sang Sapurba (raja) dan Demang Lebar Daun (rakyat), maka pastinya tidak akan muncul Hang Jebat, Laksamana Bentan mahupun Uncleseekers! Pewaris takhta negeri selatan tanah air tu tahu ke apa waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun?

Beberapa hari lepas ada lagi laporan polis dibuat berkaitan menghina Sultan Johor, kali ini oleh Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) terhadap Ahmad Shukri Kamarudin, Setiausaha Media Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Petikan akhbar Sinar Harian mengenai laporan polis menghina Sultan Johor
Sifirnya mudah, 
 1 Uncleseekers ditahan = 100 klon-Uncleseekers muncul tidak kira dalam bentuk blog, twitter, facebook atau penulis-penulis di laman forum

Andaikata 10% dari 100 klon-Uncleseekers ini disenaraikan nama mereka sebagai menghina raja melalui laporan polis yang dibuat oleh dungu-dungu berjiwa feudal, maka

10 klon-Uncleseekers ditahan = 1,000 klon-klon-Uncleseekers akan muncul

100 klon-klon-Uncleseekers ditahan = 10,000 klon-klon-klon-Uncleseekers pula akan muncul

1,000 klon-klon-klon-Uncleseekers ditahan = PDRM tak payah buat kerja lain untuk menurunkan kadar jenayah bunuh, rogol, culik, ragut kat Malaysia ni. Polis jalankan saja tugas mengawal raja-raja, bukan kah "Polis diraja Malaysia", maka jadi lah polis untuk raja, bukan untuk rakyat Malaysia! 

Laporan polis oleh PERKASA pada 2 Julai 2012
Cuma ingatan kepada Melayu-melayu berjiwa feudal ini, jika ingin membuat laporan polis, jangan lah jadi sebangang PERKASA. Dari Presiden sampai anak-anak buah semuanya bangang. Orang lain buat laporan polis dan masuk akhbar, dia pun sibuk nak buat laporan polis. Konon nak jadi Hang Tuah pembela raja. PERKASA membuat laporan polis mendakwa Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Kelantan (Royalti) menggunakan tandatangan Sultan Kelantan untuk menunjukkan sokongan Sultan terhadap gerakan tersebut. 

Sultan Kelantan menandatangani plak tuntutan royalti petroleum
Tetapi hakikatnya memang benar Sultan Kelantan sendiri yang menurunkan tandatangan sebagai simbolik menyokong tuntutan royalti. Diambil sekali lagi kata-kata tukartiub - "kalau bodoh jangan bagi tahu orang".
 






Penentang lèse-majesté,

4 comments:

  1. Tun Perak pernah berkata, "pantang anak Melayu derhaka kepada Raja. Tapi janganlah kita bertuankan anak Raja seorang ini...".

    Siapakah anak raja yang dimaksudkan? Dia ialah putera raja pewaris takhta yang terlibat dengan jenayah pembunuhan.

    Peristiwa ini terjadi pada zaman Sultan Mansur Syah memerintah Melaka. Raja Muhamad (putera sultan) telah membunuh Tun Besar (anak Bendahara Tun Perak). Rujuk Sulalatus Salatin.

    Berdasarkan peristiwa ini, jelaslah taat orang Melayu kepada Raja adalah bertempat dan mempunyai batas. Manakala anak Raja yang zalim tak layak menjadi tuan kepada bangsa Melayu.

    ReplyDelete
  2. Melayu seharusnya memakai dan mengamalkan pepatah "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". bukan mengamalkan pepatah dungu seperti ini "pantang anak Melayu derhaka kepada Raja."

    Aku bukanlah jenis Melayu yang ingin Kesultanan Melayu dihapus dan menjadikan Malaysia sebuah Negara Republik..Mereka kesultanan2 Melayu adalah warisan bangsa dan mereka adalah fosil hidup sebuah peradaban Melayu di era purba.

    Tetapi melihat sikap Melayu feudal yang bangang yang sering dikritik owner blog ini..memang memualkan..kononnya Hang Tuah di era moden ini..hahahha

    ReplyDelete
  3. apa kejadahnya nak sembah raja, walaupun dia adil..hanya Allah layak disembah

    ReplyDelete